Masalah biasa komputer & cara menanganinya
Menangani masalah yang melibatkan perkakasan komputer biasanya mencabar. Bagi yang sudah berpengalaman, ia mungkin mudah, namun mungkin agak mengecewakan bagi pengguna baru. Sehubungan itu, disini ada menjelaskan kaedah-kaedah praktikal untuk mengatasi beberapa masalah mudah yang melibatkan perkakasan komputer anda. Contoh yang diketengahkan di sini mungkin boleh menolong dan ianya boleh dilakukan sendiri.
Umumnya masalah gangguan pada perkakasan komputer boleh berlaku pada bila-bila masa dan ia boleh dianggap serius jika melibatkan proses ‘startup’. Antara petunjuk berguna bagi masalah kerosakan ialah dengan terhasilnya bunyi ganjil dari komputer tersebut apabila ianya dihidupkan. Bunyi itu boleh jadi berpunca daripada kipas pendingin haba yang hampir rosak atau pemacu cakera kerasnya yang bakal lumpuh pada bila-bila masa sahaja.
Oleh yang demikian, sebelum cakera keras anda menjadi lebih teruk, anda disarankan supaya segera membuat simpanan (backup) bagi semua fail-fail penting. Rasionalnya mudah, memiliki salinan lain merupakan satu langkah bijak untuk memastikan data tersebut terselamat sekiranya berlaku kerosakan pada perisian dan perkakasan yang digunakan. Penyimpanan ini boleh dilakukan pada asas harian, mingguan, bulanan atau tempoh yang ditetapkan.
Sekiranya komputer anda lumpuh (crash) dan bunyi cakera kerasnya kedengaran luar biasa, ini mungkin bermakna komputer tersebut berpotensi untuk mengalami kerosakan yang tidak diduga. Jadi simpanlah (save) maklumat di dalam program yang sedang dibuka dan mulakan pengenalpasti punca masalahnya dari peringkat paling asas.
Berikut adalah beberapa contoh masalah/gangguan biasa pada perkakasan komputer dan cara untuk menanganinya.
Bekalan kuasa : Apabila skrin monitor anda secara tiba-tiba gelap (blank) dan tiada sebarang paparan antara muka aplikasi yang sedang berfungsi, maka langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memeriksa bekalan kuasa untuk kesemua perkakasan sistem komputer anda. Misalnya, sesetengah kabel bekalan kuasa monitor dipalamkan pada bahagian belakang komputer dan ada pula dipalam kepada outlet AC. Jadi, palam bekalan kuasa itu boleh jadi longgar dan anda perlu memastikan semua palam dipasang dengan sempurna.
Sekiranya kabel bekalan kuasa komputer anda dihubungkan kepada sebuah ‘strip’ (soket sambungan) bekalan kuasa, maka pastikan setiap soketnya mempunyai suis. Lihat juga pada lampu yang menandakan suis kuasa untuk semua peralatan telah dibuka, di mana suisnya perlu berada pada kedudukan ‘on’ (buka). Jika ia masih tidak berfungsi, maka soket kuasa itu mungkin bermasalah – misalnya fius terbakar. Bagi menguji sesebuah palam kabel kuasa yang dirasakan rosak, anda boleh memalamkannya kepada soket lain yang boleh berfungsi.
Halangan boot : Halangan semasa menghidupkan komputer boleh jadi berpunca daripada disket kerana komputer boleh diboot mengikut arahan yang terdapat pada disket (yang dipasangkan pada pemacunya semasa proses boot/menghidupkan komputer dilakukan) atau cakera keras komputer anda. Kebanyakan komputer telah ditetapkan untuk membaca arahan pada disket yang dipasang dan jika proses boot gagal dilakukan, maka komputer akan beralih kepada cakera keras. Proses ini biasanya berlaku apabila komputer anda dibootkan semula atau dihidupkan buat pertama kali.
Andainya sekeping disket tertinggal di dalam pemacunya, maka biasanya komputer anda akan menggunakan prosedur yang berbeza. Jika kandungan disket itu tiada arahan startup, komputer tersebut akan memaparkan mesej ralat pada skrin yang memberitahu anda supaya menggantikan atau mengeluarkan disket tersebut. Namun, sekiranya disket itu mengandungi arahan startup untuk melakukan proses boot, maka komputer anda akan dibootkan menerusi disket yang kemudiannya akan memasuki paparan DOS dan bukannya Windows.
Sekarang dah tak der pakai disket dah dan kebanyakan komputer baru sudah tidak dibekalkan dengan Floppy lagi inanya telah ditukar kepada penggunaan thumb drive.
Sambungan : Satu lagi masalah yang biasa pada perkakasan komputer ialah kabelnya yang dipasangkan dengan tidak kemas. Semua peralatan komputer biasanya memiliki kabel kuasa dan data yang dihubungkan kepada komputer dan anda perlu memastikan penyambungannya tidak longgar. Kadangkala ada pengguna yang cuba memasangkan jenis kabel yang berbeza secara tidak sengaja atau memang tidak tahu. Sekiranya anda mendapati kabel tersebut tidak secocok, maka jangan cuba untuk memaksanya kerana ia boleh merosakkan.
Sementara itu wayar telefon yang dihubungkan kepada modem mungkin menghadapi masalah. Sebuah modem biasanya mempunyai saluran penghubung (connection) yang dilabelkan sebagai Line In, Line Out atau Phone. Jadi, anda perlu menghubungkan wayar berkenaan pada soket yang betul (rujuk labelnya) dan satu lagi penghubung perlu disambungkan kepada wayar telefon. Untuk pengetahuan anda, telefon yang dihubungkan kepada sebuah modem yang sedang berfungsi, jika diangkat ganggangnya selalu akan menyebabkan gangguan.
Tetikus : Sebuah tetikus (mouse) yang sudah lama digunakan biasanya diselaputi kekotoran pada bahagian dalamnya sehingga sensitiviti bebola dan ‘roller’nya kadangkala terganggu. Selain itu penunjuk anak panah (pointer) pada skrin mungkin tidak berganjak, walaupun tetikus itu digerakkan berulang kali. Satu-satunya cara berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah membersihkan segala kekotoran pada roller atau bebola tersebut.
Saranan: pakailah optical mouse... :)
Papan kekunci : Selain tetikus, papan kekunci (keyboard) juga boleh menimbulkan masalah ketika menaip seperti gangguan pada kekuncinya. Contohnya, anda mungkin secara tidak sengaja tertekan kekunci tertentu pada papan kekunci itu sehingga menyebabkan ia diaktifkan. Jadi, antara kekunci yang perlu diberi perhatian ialah kekunci yang berlabel CAPS LOCK dan NUM LOCK. Selain kekunci, kabel papan kekunci yang longgar mungkin perlu diketatkan dan proses boot semula mungkin perlu dilakukan supaya ianya kembali berfungsi.
Bunyi : Jika masalah yang dihadapi melibatkan bunyi (sound), anda mungkin perlu memeriksa pembesar suara (speaker) yang digunakan untuk memastikan kabel bekalan kuasa dibuka dan wayarnya dipalamkan pada soketnya yang betul. Selain itu anda mungkin perlu memeriksa ‘volume’nya untuk memastikan suisnya terbuka (on) atau tertutup (off). Sistem operasi (OS) popular seperti Win95 dan Win98 ada menyediakan kawalan volume pada bahagian taskbar desktop. Jadi, pastikan wayar pembesar suara, tidak dipasangkan pada soket lain.
CD-ROM : Fungsi pemacu CD-ROM akan terganggu sekiranya anda memasukan cakera padat (CD) secara terbalik, permukaannya bercalar atau dilekati dengan kekotoran di atas permukaannya. Kadangkala anda perlu memasangkan program untuk memainkan kandungan CD tersebut terlebih dahulu atau mengklik sebanyak dua kali pada ikonnya sebelum ia boleh berfungsi. Sekiranya CD tersebut masih gagal untuk dimainkan, sila buka pada bahagian My Computer dan klik dua kali pada ikon berlabel D (untuk pemacu CD-ROM).
Monitor: Apabila monitor anda gelap (blank) setelah komputer dihidupkan, pastikan kabel kuasa dan kabel data disambungkan dengan betul dan kemas, selain itu cuba ubahsuai bebutang kawalan pada monitor tersebut. Biasanya monitor dilengkapi dengan tombol (knob) atau bebutang (button) untuk mengawal ciri-ciri komputer tersebut seperti kontras, kecerahan dan beberapa ketetapan lain. Kadangkala paparan monitor terjejas kerana gangguan pada kad video yang digunakan - misalnya gangguan gelombang elektomagnet atau kad video itu longgar. Jadi, cuba jauhkan monitor tersebut dari punca gangguan atau kad video yang longgar diketatkan.
Cetakan : Disebabkan pencetak merupakan sebuah peranti mekanikal - terdiri daripada beberapa komponen lain yang boleh ditanggalkan - maka ia kadangkala boleh menghadapi masalah atau gangguan. Katakanlah kabel bekalan kuasa telah dibuka dan dipalamkan dengan betul, namun masalah lain tetap boleh berlaku seperti kertas tersekat (jam) di dalamnya atau dakwat/toner kehabisan. Selain itu anda mungkin perlu memeriksa ketetapan (setting) pada kekotak dialog pencetak untuk mempastikan arahan cetakan boleh dilaksanakan.