Teknologi Tanpa Wayar - Rangkaian 3G, WiFi dan WiMax
Baru sahaja kita mengenali teknologi 3G untuk rangkaian telefon bimbit berkelajuan tinggi dan WiFi, kini timbul pula istilah baru, WiMax.
Teknologi wayarles sememangnya mendapat perhatian di seluruh dunia dan di negara kita, ia dijangka boleh menjadi jawapan kepada masalah akses jalur lebar yang sangat rendah. Untuk menghubungkan manusia dan mesin, selain 3G yang merupakan teknologi untuk rangkaian data berkelajuan tinggi berasaskan telefon bimbit, terdapat juga WiFi atau WLAN (rangkaian kawasan setempat wayarles) yang merupakan teknologi wayarles berasaskan rangkaian komputer menggunakan standard IEEE 802.11. WiMax pula merupakan teknologi wayarles terkini yang dikatakan akan menggugat kehebatan 3G kerana kemampuan liputan dan kelajuan rangkaiannya. WiMax dikatakan boleh mengadakan liputan bagi kawasan sehingga 50 kilometer dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding 3G.
Bagaimanapun, apa yang hangat diperbincangkan pada masa ini ialah teknologi jalur lebar wayarles yang dikatakan mampu meningkatkan kadar penembusan pengguna jalur lebar di negara ini.Malaysia sememangnya agak ketinggalan dari segi bilangan pengguna jalur lebar berbanding negara-negara di rantau ini yang sedang membangun dengan pesat dalam teknologi itu.
Menurut IDC Malaysia, kadar penembusan jalur lebar di Malaysia hanya mencecah angka 2 peratus sahaja pada 2003, berbanding Singapura 30 peratus, Taiwan 40 peratus dan Korea Selatan lebih 60 peratus. Masalah akses jalur lebar di negara kita sememangnya serius. Sehubungan itu, baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jalur Lebar Negara bermatlamat untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara pada tahap antara 5 dan 10 peratus dari 2006 hingga 2008 atau mencapai 2.8 juta pengguna.
Memandangkan pelaksanaan jalur lebar menggunakan teknologi ADSL yang menggunakan kabel memerlukan masa dan kos yang tinggi untuk boleh dilaksanakan secara menyeluruh, maka teknologi wayarles sebenarnya boleh menjadi alternatif masa kini.
3G
3G merupakan kesinambungan teknologi telefon bimbit bermula dari GSM dipertingkatkan kepada GPRS, EDGE dan seterusnya 3G (WCDMA).Bagaimanapun, ia adalah satu platform dengan teknologi baru berbanding GSM sedia ada.Memandangkan pelaksanaannya juga agak perlahan di negara ini dan terhad, maka 3G juga suatu yang belum pasti mampu menyelesaikan masalah jurang digital jalur lebar di negara ini.
WiFi
Sehubungan itu, teknologi wayarles pengkomputeran seperti WiFi (Wireless Fidelity) mendapat perhatian.Misalnya, walaupun telah mempunyai lesen 3G, syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan Celcom juga telah menunjukkan minat yang tinggi dengan teknologi WiFi dengan satu demi satu memperkenalkan perkhidmatan hotspot di seluruh negara.
Teknologi WiFi atau WLAN menggunakan standard 802.11b mempunyai kelajuan transaksi 11 Mbps dengan liputan sehingga 90 meter. Manakala, WLAN berasaskan 802.11a mempunyai kelajuan 54Mbps tetapi liputan lebih dekat berbanding 802.11b. Teknologi WLAN terkini yang sedang memasuki pasaran negara ialah produk berasaskan 802.11g (menggabungkan kedua-dua fungsi 802.11b dan 802.11a). Kepentingan dan populariti WiFi tidak dapat dinafikan. Menurut IDC, terdapat kira-kira 480 hotspot (pusat akses WiFi untuk orang ramai) pada 2006 dan terus meningkat di seluruh negara.
WiMax
Bagi WiMax pula, ia mempunyai kemampuan untuk menampung transmisi kelajuan data antara 15 hingga 75 Mbps akan menjadikan ia sebagai pilihan teknologi masa depan. Ia bagaimanapun tidak akan mencabar 3G atau WiFi secara langsung kerana mereka dibangunkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.Seperti WiFi yang digunakan untuk menghubungkan peranti atau komputer di kawasan rumah atau pejabat, WiMax pula akan digunakan untuk menghubungkan rangkaian-rangkaian WiFi di suatu kawasan yang luas. Manakala, 3G pula menjadi penghubung WiMax ke seluruh negara dan dunia.
WiMAX sebenarnya teknologi wayarles untuk sambungan akhir (last mile) yang berada dalam kategori Rangkaian Kawasan Metro (WAN) kerana mempunyai kemampuannya menghubungi sehingga jarak 50 kilometer, berbanding WiFi (sehingga 90 meter). Sudah tentu dengan gandingan 3G yang merupakan teknologi telefon bimbit dengan kemampuan rangkaian kawasan luas wayarles (WWAN), WiFi dan WiMax akan mampu memainkan peranan yang lebih penting dalam meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara.
RANGKAIAN WAYARLES
* WPAN (rangkaian kawasan peribadi wayarles) untuk komunikasi jarak dekat seperti Bluetooth (802.15.1) dengan kelajuan 110 - 480 Mbps.
* WiFi atau WLAN (rangkaian kawasan setempat wayarles) merupakan komunikasi untuk sesuatu kawasan dalam jarak 100 meter dengan kelajuan 15 - 54 Mbps.
* WiMax atau WMAN (rangkaian kawasan metro wayarles) komunikasi sehingga 50 km dengan kelajuan 15 - 75 Mbps
* 3G/WCDMA atau WWAN (rangkaian kawasan jauh wayarles) untuk komunikasi jarak jauh (termasuk global) dengan kelajuan sehingga 2 Mbps