Garis panduan pusat perkhidmatan internet (sibercafe)
1)PENGURUSAN
1.1)Pengurusan pusat siber dan cyber cafe hendaklah secara professional oleh pengurus yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ini.
1.2)Pekerja rakyat asing adalah tidak dibenarkan bekerja di pusat siber dan cyber cafe.
1.3)Pengusaha pusat siber dan cyber cafe hendaklah mempunyai pekerja yang mencukupi setiap masa bagi mengawasi setiap aktiviti di pusat siber dan cyber cafe tersebut.
2)AKTIVITI YANG DIBENARKAN
2.1)Aktiviti utama ataupun core business pusat siber dan cyber cafe adalah dihadkan kepada aktiviti penyebaran dan mendapat maklumat melalui internet sahaja. Kegiatan-kegiatan lain adalah tidak dibenarkan sama sekali khususnya berbentuk hiburan seperti berikut :
Permainan video;
Perjudian;
Gambar-gambar lucah;
Muzik (pipe music);
Penjualan bahan-bahan bercetak khususnya yang mengandungi unsur-unsur negatif; dan
Lain-lain aktiviti yang berbentuk hiburan.
2.2)Pengusaha pusat siber dan cyber cafe juga hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan tiada sebarang aktiviti kurang sihat berlaku di pusat siber dan cyber cafe. Tindakan segera hendaklah diambil sekiranya berlaku aktiviti kurang sihat tersebut yang melibatkan pelanggan mereka.
3)MASA OPERASI
3.1)Masa operasi bagi pusat siber dan cyber cafe adalah dihadkan kepada pukul 12.00 tengah malam sahaja.
3.2)Bagi pengunjung di bawah umur 18 tahun, mereka hanya dibenarkan mengunjungi pusat siber dan cyber cafe sehingga pukul 10.00 malam sahaja.
4)HAD UMUR PENGUNJUNG
4.1)Pusat siber dan cyber cafe hanya dibuka kepada pengunjung berumur 18 tahun ke atas. Walaubagaimanapun mereka yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan mengunjungi pusat siber dan cyber cafe dengan ditemani oleh ibubapa ataupun penjaga.
4.2)Pelajar yang berpakaian seragam sekolah adalah dilarang memasuki pusat siber dan cyber cafe.
5)LOKASI
5.1)Pusat siber dan cyber cafe hanya dibenarkan beroperasi di tingkat bawah bangunan, keadaan premis perlulah terbuka dengan sistem pencahayaan yang terang dan penggunaan cermin gelap adalah dilarang.
5.2)Kedudukan komputer bagi tujuan melayari internet hendaklah berasingan daripada aktiviti sampingan yang lain dan ia hendaklah diletakkan dalam ruang yang terbuka, iaitu tidak berbilik dan tidak berpintu.
5.3)Pusat siber dan cyber cafe tidak dibenarkan beroperasi berhampiran dengan kawasan-kawasan sensitif seperti masjid dan lain-lain kawasan yang dirasakan tidak wajar oleh pegawai pelesenan.
5.4)Lesen yang dikeluarkan oleh PBT hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat. Lesen akan dibatalkan jika syarat-syarat yang dinyatakan dalam garispanduan ini tidak dipatuhi.
6)PENJUALAN MINUMAN KERAS DAN ROKOK
6.1)Penjualan minuman keras dan rokok adalah dilarang sama sekali di pusat siber dan cyber cafe.
6.2)Pelanggan juga adalah dilarang untuk membawa masuk sebarang minuman keras dan juga rokok daripada luar.
7)BUTIRAN PELANGGAN
7.1)Pengusaha hendaklah menyediakan buku rekod kemasukan pelanggan untuk disemak oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa.
7.2)Notis pemberitahuan (syarat-syarat kegunaan / peraturan cyber cafe) hendaklah dipamerkan pada pintu masuk premis termasuk perkara-perkara seperti berikut :
jenis perkhidmatan yang diberi;
kadar atau bayaran yang dikenakan; dan
larangan-larangan seperti perjudian, merokok, tayangan bahan-bahan lucah termasuk muat-turun bahan-bahan tersebut.
8)KEBERSIHAN PREMIS
8.1)Pengusaha pusat siber dan cyber cafe juga hendaklah mengambil perhatian ke atas aspek-aspek kebersihan dengan menyediakan kemudahan tong sampah dan tandas awam mencukupi.
8.2)Premis hendaklah menepati syarat-syarat penggunaan dan kelulusan bangunan yang telah ditetapkan dan sebarang pengubahsuaian ke atas bangunan hendaklah mendapat kelulusan daripada PBT terlebih dahulu.
8.3)Premis yang digunakan mestilah mempunyai ciri-ciri keselamatan yang dibenarkan oleh pihak-pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan.
9)TINDAKAN KE ATAS PREMIS PERNIAGAAN PUSAT SIBER DAN CYBER CAFE
9.1)Tindakan menutup premis perniagaan pusat siber dan cyber cafe akan dijalankan jika pengusaha pusat siber dan cyber cafe adalah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam garispanduan ini.
9.2)Kementerian berhak untuk tidak meluluskan / menolak mana-mana permohonan tanpa memberi apa-apa sebab.
9.3)Permohonan lesen akan ditolak jika terdapat mana-mana premis beroperasi sebelum mendapat kelulusan.
9.4)Kementerian boleh pada bila-bila masa sahaja jika perlu, menghendaki pengusaha-pengusaha pusat perkhidmatan internet memberi butiran lanjut tentang perniagaan mereka.
9.5)Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan berhak mengadakan pemeriksaan terhadap premis yang dilesenkan pada bila-bila masa sahaja.
Sumber Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan