Asas penyelenggaraan komputer anda
Asas komputer diantaranya adalah melihat aspek yang dapat membantu penguna memastikan sistem PC beroperasi seperti kenderaan.
Secara ringkas ia terbahagi kepada dua komponen perkakasan dan perisian.
PERKAKASAN
Pengawal arus
Sistem komputer yang disambung terus ke bekalan elektrik pada dinding terdedah kepada elektrik atau pengaliran elektrik berlebihan. Seperti alat elektronik dan elektrik lain, bekalan tambahan yang mendadak akan menyebabkan kerosakan litar yang teruk. PC tidak terkecuali. Adalah lebih baik bagi pengguna untuk membuat sedikit pelabura dengan mendapatkan pengawal aliran elektrik atau "surge protector". Selain menyambungkan PC, penguna juga boleh menyambungkan pelbagai peranti lain seperti pencetak kepada pengawal arus itu. Begitu juga untuk modem. Penguna juga digalakkan menggunakan pengawal kilat bagi sambungan talian telefon ke modem terutama ketika menggunakan modem sewaktu hujan lebat.
Bekalan tenaga berterusan
Hari ini pengguna komponen bekalan elektrik berterusan tidak terhad kepada sistem dalam pejabat sahaja. Lebih ramai pengguna di rumah mula menggunakan bekalan tenaga berterusan iaitu UPS (Uninterruptable Power Supply) terutama mereka yang bekerja di rumah. Penggunaan UPS dapat menyediakan bekalan elektrik berterusan untuk tempoh tertentu walaupun tanpa bekalan elektrik utama. Jenis dan harga bergantung kepada jumlah masa tenaga yang dibekalkan.
Memindah komputer
Seperti alat elektronik lain, PC agak manja, Jadi, jangan menghentak, menjatuhkan atau menghumban sistem ini kerana kebanyakan komponen adalah sensitif kepada getaran yang kuat. Contohnya, cakera keras dan pemacu CD-ROM. Hentakan yang kuat juga boleh menyebabkan sambungan dengan papan litar utama menjadi longgar dan komponen tertentu tidak boleh beroperasi dengan betul atau memberi mesej "error" apabila ia disambungkan semula. Apabila memindahkan PC, pastikan semua kabel dicabut dan tiada yang tertinggal. Pada masa yang sama, jangan mendekatkan benda bermagnet kepada komponen elektronik kerana ia juga boleh merosakkan PC.
Bersihkan PC
Pastikan PC sentiasa bersih dengan menyapu semua habuk yang terlekat pada papan kekunci dan paparan skrin. Jika mahir, pastikan papan litar juga tidak berdebu dengan menggunakan vakum dan bukannya dengan air. Jangan meletakkan komputer anda terlalu dekat dengan tingkap kerana mudah menangkap habuk, kotoran serta mungkin terkena percikan air hujan. Bagaimanapun, pastikan sistem PC diletakkan di dalam bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik. Selain paparan, casis CPU dan papan kekunci, pengguna juga boleh membersihkan pad tetikus daripada kesan minyak atau habuk yang mungkin mengganggu pergerakan bola tetikus.
Scandisk dan Defragmentation
Imbasan cakera keras harus dilakukan dengan kerap sekurang-kurangnya sekali setiap minggu kerana ia berupaya memastikan kelompok "cluster" pada cakera keras berada di dalam keadaan baik. Anda juga boleh menggunakan fungsi Scandisk dan Disk Defragmentor apabila anda melihat penurunan persembahan dalam sistem PC.
Penggunaan Perisian Membuat Salinan (backup)
Kebanyakan masalah dengan fail yang rosak atau hilang dapat dielakkan jika pengguna selalu melakukan operasi Backup bagi keseluruhan sistem (sistem operasi perisian, aplikasi dan dokumen) selepas sesuatu tempoh. Untuk memulakan fungsi Backup, klik start , program, accessories, system tools dan pilih backup. Klik folder atau fail yang mahu disalin serta tentukan destinasi salinan. Pengguna boleh membuat salinan ke dalam disket 1.44 MB atau CD-Writer
Kaedah kedua lebih mahal tetapi lebih mudah, pantas , boleh dipercayai serta menyimpan saiz storan yang lebih besar berbanding disket. Satu lagi pilihan yang agak murah adalah pemacu Zip. Pengguna PC juga digalakkan membuat disket but kerana ia adalah penyelamat apabila masalah PC berlaku. Sistem operasi menyediakan fungsi bagi membina disket but dan Start Up kepada sistem. Pastikan juga sistem dilengkapi dengan perisian antivirus. Ia adalah perisian yang paling penting terutama dengan kepelbagaian sumber fail serta peningkatan jumlah virus.
Selain langkah-langkah di atas, beberapa tabiat yang baik ketika menggunakan PC dapat membantu meningkatkan jangka hayat penggunaan PC. Antaranya, jangan matikan sistem PC ketika ia sedang beroperasi. Gunakan fungsi Shut Down dalam Windows 95/98. Mematikan sistem terus tanpa menggunakan fungsi Shut Down mungkin merosakkan Register atau fail-fail tertentu yang sedang beroperasi ketika sistem dimatikan. Juga jauhi makanan dan minuman dari PC serta kanak-kanak yang tidak tahu menggunakan PC.
Jika kanak-kanak di bawah umur hendak menggunakan PC, pastikan kehadiran orang dewasa sepanjang masa. Anda tidak mahu anak anda memformat keseluruhan cakera keras anda. Mengikut kaedah yang dinyatakan di atas tidak menjamin seratus peratus sistem PC tidak akan mengalami masalah kerana seperti barangan elektronik lain, ia juga mempunyai jangka hayat tertentu.
Tetapi langkah di atas berupaya membantu sistem PC beroperasi dengan baik serta mengelak kejadian tidak diingini.