Dapatkan artikel terbaru dari Celiksiber dengan percuma.Masukkan alamat email anda:

Delivered by FeedBurner

free logo design

Letakkan kod html di bawah ini di website atau blog anda

Virus telefon bimbit

Labels: ,


SATU ketika dulu jika memiliki sebuah telefon bimbit sudah dianggap gah walaupun ia bersaiz besar dan berat kerana peranti berkenaan mahal untuk dimiliki.

Apabila teknologi semakin berkembang, telefon bimbit membanjiri pasaran umpama cendawan yang tumbuh melata, malah ia ditampilkan dengan pelbagai bentuk, aplikasi, saiz, berat dan warna yang bersesuaian dengan kemajuan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pastinya ramai yang tersenyum dengan perubahan alat telekomunikasi hari ini yang dipelopori organisasi terkemuka dalam perindustrian seperti Sony Ericsson yang bermula pada 2001 apabila mengeluarkan telefon pintarnya yang pertama melalui siri P, jenama Nokia menerusi siri N, diikuti pelbagai jenama lain lagi termasuk HTC dan yang terbaru iPhone.

Ledakan teknologi memberi kesan positif kepada masyarakat kerana perkembangan itu bertindak sebagai pemacu ke arah kemunculan teknologi telefon bimbit yang semakin memenuhi pasaran negara, namun senario berkenaan turut dikaitkan dengan kehadiran virus dan penggodam atau penceroboh komputer.

Ia wujud dengan sifatnya yang menyerang ribuan komputer menerusi penyebaran pelbagai jenis virus yang mampu mendatangkan kerosakan kepada sistem pemproses komputer.

Kini telefon pintar menjadi tarikan penggodam yang sama ada sengaja menyebarkan virus atau cuba mencuri maklumat di telefon dan mensasarkan ruang telekomunikasi untuk menyebarkan kerosakan dari satu telefon ke satu yang lain.

Virus pertama yang dikesan dikenali sebagai SymbOS Cabir dari Czech Republic dan Slovakia pada 2004.

Cabir dihantar ke syarikat perisian keselamatan Kaspersky Lab di Rusia dan dianggap sebagai 'bukti' bahawa virus boleh ditulis dan disebarkan menerusi telefon bimbit.

Ia dibina untuk telefon bimbit yang menggunakan aplikasi Symbian Series 60 dan bertindak menerusi Bluetooth (dalam lingkungan 30 meter) dengan menghantar dirinya sendiri yang menyamar sebagai fail keselamatan.

Selepas penerima memasang fail terbabit, perkataan 'Caribe' akan terpamer di telefon bimbit.

Sekiranya telefon yang dijangkiti itu aktif, Cabir akan melancarkan dirinya sendiri dan mengimbas frekuensi untuk menghantar dirinya ke telefon bimbit yang lain. Proses imbasan ini yang melemahkan tenaga bateri telefon yang dijangkiti.

Selain Bluetooth, telefon bimbit turut dijangkiti menerusi inframerah, penukaran kad memori, SMS, MMS, GPRS dan pindah turun menerusi 'over-the-air-programming' (OTA) iaitu cara terbaru memindah turun perisian ke telefon bimbit.

Hampir 400 virus telefon bimbit dikesan dan dijangkakan meningkat dengan kedatangan teknologi telefon pintar.

Masyarakat hari ini berlumba-lumba ingin memiliki telefon pintar kerana dibekalkan dengan pelbagai alternatif untuk berhubung seperti WiFi, Bluetooth, port USB, CD/DVD dan slot memori kad 'flash' bagi memudahkan pemindahan data yang pelbagai.

Pengarah Teknikal Kaspersky Lab APAC, Nathan Wang, berkata pengguna harus berhati-hati jika ingin muat turun atau naik pelbagai data seperti klip video, gambar dan nada dering kerana cara penyebaran dan jangkitan virus ini adalah sama seperti melalui komputer.

"Pada 2005, virus pertama yang menyerang menerusi Mobile Messaging System (MMS) dikenali sebagai CommWarrior menerusi aplikasi Symbian Series 60. Podloso pula dikesan sebagai virus pertama yang menyerang iPod pada 2007.

"Statistik 2007 menunjukkan virus telefon bimbit berkembang pantas hingga 110,000 telefon bimbit dijangkiti virus. Manakala trojan Viver menjangkiti hampir 500 telefon bimbit dalam sehari.

"Berdasarkan penyedia perkhidmatan Vimpelcom, Kaspersky Mobile Security berjaya menghentikan hampir 1000 MMS yang dijangkiti dalam sehari," katanya.

Menurut Nathan, pengguna mempunyai banyak maklumat peribadi di dalam telefon berbanding e-mel maka tidak menghairankan jika penularan virus merebak lebih banyak di kalangan pengguna telefon bimbit berteknologi pintar yang mempunyai aplikasi terbaru menyerupai komputer peribadi.

"Pengguna telefon bimbit suka menyimpan pelbagai data penting menerusi Short Messaging System (SMS) atau MMS seperti maklumat akaun bank dan butiran peribadi kerana mudah untuk dirujuk jika terlupa.

"Ia menjadi tarikan penggodam untuk memasuki telefon pengguna seterusnya menggunakan data terbabit untuk kepentingan sendiri.

"Laporan daripada media turut mempengaruhi pemikiran pengguna yang beranggapan virus hanya menyerang komputer dan tiada penekanan mengenai kecurian data telefon bimbit.

"Berita mengenai serangan virus di telefon bimbit agak kurang diperkatakan. Justeru, ia perlu ditekankan agar pengguna sentiasa berhati-hati dengan serangan virus yang tiada kesudahan," katanya.

Atas dasar ini Kaspersky memperkenalkan Kaspersky Mobile Security 8.0 (KMS) sebagai langkah keselamatan bagi semua telefon bimbit yang bertindak melindungi ancaman virus yang mampu mencuri dan memadam maklumat, menyalin senarai nombor telefon, membeku serta memusnahkan fungsi telefon.

Program yang mesra pengguna ini menawarkan perlindungan masa nyata bagi melindungi telefon bimbit daripada semua sumber iaitu MMS, SMS, Bluetooth, kad memori flash, data sync dan Wi-Fi.

Seperti mana jangkitan di komputer, pengguna diberi pilihan untuk membiarkan, kuarantin atau membuang fail yang dijangkiti.

Kad memori dan memori dalaman akan diimbas untuk dilindungi daripada sebarang virus.

Sementara untuk menghentikan spam, pengguna perlu menentukan sumber yang diperoleh sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Sekiranya pengguna pernah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali atau mendapat spam, bolehlah menempatkan nombor terbabit di kalangan senarai hitam.

Menurut Nathan, selain bertindak sebagai antivirus Kaspersky merupakan satu-satunya perisian keselamatan yang turut menawarkan perlindungan antikecurian.

Sama ada telefon bimbit hilang secara tidak sengaja atau ia dicuri, pastinya pemilik telefon berhadapan dengan risiko kerana maklumatnya kini terdedah.

"Tiga pertahanan untuk antikecurian telefon membabitkan SMS Block, SMS Clean dan Subscriber Identity Module Watch (SIM Watch).

"Sekiranya telefon didapati hilang, pemilik telefon boleh menghantar SMS tersembunyi yang memberi arahan kepada telefonnya untuk menghalang data daripada diakses ataupun terus menyingkirkan data daripada memori dalaman dan kad memori," katanya.

SIM Watch berperanan dengan menghantar isyarat ke nombor telefon baru apabila pencuri menukarkan kad sim asal dengan yang baru di telefon bimbit yang dicuri. Secara automatik, telefon terbabit akan menghantar nombor telefon baru kepada pemiliknya tanpa pengetahuan si pencuri.

SMS Find pula membolehkan pemilik asal mengesan lokasi telefon bimbitnya melalui SMS yang diterima yang menggunakan aplikasi Global Positioning System (GPS).

Selepas menghantar SMS ke telefon bimbit yang hilang, pemilik akan disambungkan ke peta Google dengan koordinat yang tepat.

Menarik dan berbaloi dengan adanya antikecurian yang disediakan dalam KMS.

Ini bermakna pengguna dan pencuri akan saling berhati-hati sama ada untuk menjaga telefon bimbit atau jika berniat mencuri telefon bimbit kerana pastinya berhadapan dengan hukuman dan undang-undang.

KMS sememangnya direka memenuhi platform telefon bimbit dan secara praktikalnya amat sesuai untuk kedua-dua jenis sistem pemproses, Symbian dan Windows Mobile. Interaksinya amat mudah untuk digunakan, tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar, malahan tidak mengganggu bateri telefon bimbit.

Sama seperti mengendalikan jadual mengimbas virus di komputer, pengguna mudah mengendalikan jadual imbasan mengikut masanya sendiri ataupun secara automatik.

Imbasan ini meliputi semua objek, direktori, sektor dan keseluruhan cakera dan mempunyai pilihan untuk membuang atau kuarantin virus terbabit.

Manakala, hasil tindakan dan imbasan akan disimpan dan dilaporkan dalam log aktiviti.

Pengguna juga digalakkan untuk mengemaskini pangkalan data antivirus termasuk menerusi penyelarasan dengan komputer bagi membolehkan ia mengemaskini program dan bertindak ke atas virus dengan berkesan.

Komponen terbaru seperti 'parental control' membolehkan ibu bapa mengehadkan mesej terima dan hantar di telefon bimbit anak-anak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Ibu bapa juga boleh menggunakan SMS Find untuk mengetahui lokasi anak mereka.

Kita tidak mampu mempertikaikan kebolehan antispam yang dibekalkan menerusi KMS 8.0 ini.

Sistem saringan spam mampu menghalang mesej dan panggilan telefon yang tidak dikenal pasti, malah menyelamatkan pengguna daripada penipuan iklan.

Versi ini membolehkan pengguna membuat penyaringan panggilan dan mesej menerusi mod senarai putih (menerima panggilan dan mesej daripada nombor sedia ada) dan senarai hitam (menerima panggilan dan mesej daripada nombor yang tiada dalam senarai putih).

Fungsi firewall turut dikemas kini antara langkah keselamatan untuk mengelakkan serangan penggodam dan cecacing mobil yang merebak menerusi penyambungan Bluetooth dan Wi-Fi.

Lambakan telefon bimbit pintar bakal menjadi perhatian pengguna hari ini namun kawalan keselamatan dalam telefon yang harus diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kecurian dan kerugian. Tidak salah jika kita berhati-hati sekarang daripada menyesal di kemudian hari.





Iklan Khidmat Masyarakat

Download PERCUMA E-Kamus

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Anda pernah dengar e-kamus? E-kamus ialah software kamus yang tercanggih yang dilengkapi dengan 18 kamus dan disertakan sebutan dalam English UK. Mudah bukan? Hanya "double click" atau "mouse move", makna perkataan anda terjawab. Boleh digunakan untuk kesemua software berasakan text seperti Microsoft Office (Word,excel dll) , PDF Reader, Mozilla Firefox, Internet Explorer dan macam-macam lagi. Anda mahu mencubanya? Dapatkan secara PERCUMA SEKARANG!


Blog ini dapat ditampilkan dengan baik menggunakan Browser Mozilla Firefox.

Download Disini...

Spread Firefox Affiliate Button