BlackBerry Storm guna papan kekunci maya
PELBAGAI model telefon pintar BlackBerry sinonim dengan kemudahan e-mel tolakan. Ia akan ditolak terus dan dipaparkan di atas skrin BlackBerry terbabit.
Model terbaru di pasaran ialah BlackBerry Storm. Penguji baru menerimanya untuk ujian sedangkan sebelum ini sudah menggunakan BlackBerry Bold kira-kira setahun lamanya.
Dari segi saiz, kedua-duanya lebih kurang sama, tetapi berbeza dari segi penggunaan papan kekunci. Bold menggunakan papan kekunci fizikal dan Storm secara maya.
Kelebihan papan kekunci maya adalah ia boleh dihilangkan jika tidak diperlukan dan boleh digunakan pada paparan melintang kerana ada kemudahan ‘accelerometer’ yang mampu mengesan posisi Storm sama ada dipegang melintang atau menegak.
Daripada pengamatan, maklum balas accelerometer Storm adalah agak lambat dibandingkan dengan kemudahan yang sama di telefon bimbit model syarikat lain. Ia mengambil masa beberapa saat untuk mengubah posisi paparan.Jika respon lambat, kemungkinan untuk digunakan oleh perisian yang dibangunkan pihak ketiga akan berkurangan.Papan kekunci maya Storm menggunakan teknologi ClickThrough atau boleh klik yang mana skrin akan bergerak ke dalam sedikit apabila kekunci ditekan.
Ia mewujudkan rasa seperti menekan papan kekunci sebenar walaupun hanya secara maya. Pada mulanya, ia agak sukar untuk digunakan kerana saiz kekuncinya yang kecil mengakibatkan kesilapan mudah berlaku berbanding dengan papan kekunci yang sebenar.Storm juga menggunakan kemudahan teknologi SureType seperti T9 dan jumlah butang di papan kekunci boleh dikurangkan serta saiz butang boleh dibesarkan.
Kepada pengguna yang sering menggunakan kemudahan T9, ia berbeza sedikit kerana butangnya mengandungi hanya dua huruf berbanding tiga pada kebiasaannya. Oleh kerana papan kekunci adalah secara maya, maka bentuk reka letaknya boleh dibentuk mengikut kesesuaian.
Satu daripadanya adalah pengguna masih boleh mendail menggunakan huruf, yang mana kemudahan ini kebanyakannya tidak wujud lagi apabila menggunakan telefon dalam kategori pintar.Isu utama yang menyebabkan saya lambat bertukar ke Storm adalah isu Wi-Fi.
Percaya atau tidak Storm tidak mempunyai kemudahan Wi-Fi? Wi-Fi adalah kemudahan penting di dalam semua perkakasan terkini dan Storm tanpa Wi-Fi adalah kurang masuk akal.
Namun mungkin itu strategi pemasaran Blackberry dan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan penggunaan sambungan data melalui rangkaian 3G.Walaupun ia mungkin kurang membebankan dengan plan data tanpa had tempatan, namun sudah pasti membebankan jika pengguna ke luar negara yang pasti dikenakan caj perayauan yang tinggi.
Satu lagi isu yang tidak diketahui ramai adalah penggunaan microUSB berbanding miniUSB yang dikira sebagai standard di kebanyakan telefon bimbit setakat ini. MicroUSB lebih kecil dan memerlukan adapter untuk menggunakan kabel miniUSB ke microUSB. Itu bermakna alat pengecas yang dulunya serasi dengan BlackBerry model lama tidak boleh digunakan lagi oleh Storm.
Anda juga memerlukan set kabel baru untuk menyambungkannya ke peralatan aksesori lain seperti speaker ataupun stereo di dalam kereta.Secara ringkas berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil pertimbangan jika anda bercadang untuk menukar telefon sedia ada kepada BlackBerry Storm:
Aspek positif pada Storm
1. Aplikasi penambahan e-mel kini terdapat dalam bentuk aplikasi bukan lagi melalui browser.
2. Jangkasama bateri lebih lama berbanding dengan Bold.
3. Paparan ikon semasa standby lebih banyak.
4. Skrin lebih besar dan boleh ditukar mengikut kedudukan.
Aspek negatif pada Storm
1. Pengunaan Papan Kekunci Maya agak sukar untuk digunakan pada beberapa hari yang pertama.
2. Sukar untuk melakukan arahan Copy dan Paste dengan skrin sesentuh.
3. Tiada sambungan WiFi
4. Pengunaan microUSB berbanding miniUSB
5. Lebih berat berbanding kategori yang sama di pasaran.
6. Accelerometer terlampau sensitif, paparan bertukar ke kedudukan melintang walaupun masih di kedudukan menegak.
7. Tiada Multi-Gesture, tidak boleh memberi arahan melalui cubitan atau sentuh-gerak.
8. Mengambil masa beberapa saat untuk dibangunkan apabila skrin di dalam mod tidur.
9. Kadar cahaya tidak boleh dikelamkan walaupun sudah diselaraskan ke kadar yang paling minimum. (Perlu untuk menjimatkan bateri)
10. Banyak aplikasi dan perisian pemacu yang masih tidak serasi. (Misalnya papan kekunci luaran sambungan Bluetooth)
11. Tidak boleh mendail di dalam keadaan melintang.
Kemudahan yang tertinggal di dalam Storm
1. Butang OK. Semua butang OK yang dipaparkan perlu ditekan menggunakan sentuhan. Jika ada butang khusus OK, penggunaan menjadi lebih mudah. Butang Menu sepatutnya boleh dijadikan sebagai butang OK.
2. Pilihan paparan papan kekunci maya di muka hadapan. Ini memudahkan proses mendail mengikut nama, tanpa perlu membuka arahan Phone dan memilih Phone Book.
3. Jika alamat e-mail tidak ada di dalam Contact sedia ada, ia sepatutnya dimasukkan secara automatik selepas ia ditaip. Tidak perlu untuk memasukkan melalui Contact > Edit.
PRODUK: BlackBerry Storm
HARGA: RM2,499 (bergantung kepada penyedia perkhidmatan)
PENGELUAR: Research In Motion (RIM)
PERTANYAAN: Maxis dan Celcom
LAMAN WEB: www.blackberry.com